Monday, August 24, 2015

HARIAN METRO - KDN TERIMA BANYAK ADUAN

Oleh Iskandar Shah Mohamed
dan Rizanizam Abdul Hamid

am@mediaprima.com.my

Umat islam digesa tidak menjadikan bacaan al-Quran melalui aplikasi medium eletronik seperti telefon pintar dan tablet sebagai amalan kerana dikhuatiri boleh mendatangkan dosa.

Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran (PQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Munir Md Salleh berkata, banyak aduan diterima daripada pengguna yang kesal dengan penyelewengan beberapa ayat al-Quran melalui aplikasi muat turun percuma ke telefon bimbit mereka.

“Tidak dinafikan, inilah cabaran baru yang perlu kami hadapi kerana ayat al-Quran yang diselewengkan melalui medium elektronik amat sukar dikawal. Ia boleh berubah sekelip mata berbanding kaedah cetakan yang tidak boleh diubah dengan mudah.

“Justeru, kita lebih menggalakkan umat Islam faham dan mahirkan dulu membaca al-Quran melalui naskhah cetakan diluluskan KDN supaya kita dapat mengesan sekiranya ada kesalahan pada ayat yang dibaca,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurut beliau, sejak 1988 sehingga tahun lalu, sebanyak 47 syarikat tempatan sudah diberi Lesen Mencetak Teks Al-Quran mengikut peruntuk kan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

“Daripada jumlah itu, saya difahamkan setakat ini tiada lagi syarikat mengeluarkan aplikasi al-Quran elektronik kerana lesen dari Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran hanya dibenarkan untuk mencetak, bukan dalam bentuk aplikasi.

“Al-Quran yang diluluskan KDN menepati kaedah penulisan Rasm Uthmani yang tidak sama dengan penulisan biasa dari segi sebutan disebabkan ia menggunakan kaedah membuang, menambah, mengganti, menyambung atau memisahkan huruf dengan penulisan Hamzah,” katanya.

Pemerhatian Harian Metro mendapati beberapa blog tempatan sebelum ini memaparkan kewujudan satu versi baru al-Quran dikeluarkan sebuah aplikasi muat turun yang didakwa menimbulkan kemarahan dan kebimbangan kepada umat Islam termasuk di negara ini.

Difahamkan, ia dihasilkan kumpulan tertentu dengan terjemahan bahasa Inggeris yang secara jelas disebut atau dinyatakan dalam aplikasi berkenaan.

Rata-rata pelayar blog turut bersependapat ia wajib diboikot kerana bukan saja menyeleweng dan mengelirukan malah bercanggah dengan kandungan ayat suci kitab al-Quran yang asal.

Sehubungan itu, menurut Munir, pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berterusan mengenai perkara seumpama itu termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan ia dapat dikekang daripada berleluasa di negara ini.

Artikel menarik :




No comments:

Post a Comment