Tuesday, August 25, 2015

KOSMO - 4/11/2013 - SEKRETARIAT BEBAS MUFLIS DITUBUH

Langkah Pencegahan Kurangkan Golongan Bankrap Muflis Dalam Kalangan Belia

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izzarosly@kosmo.com.my

SUNGAI BULOH – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menubuhkan sebuah sekretariat bagi membantu dan membela nasib golongan muflis di negara ini yang dinamakan Sekretariat Bebas Muflis semalam.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sekretariat itu ditubuhkan bagi mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan golongan muflis yang kebanyakannya terdiri daripada belia berusia 20 hinggan 40 tahun melalui enam komitmen.

Katanya, antara komitmen itu ialah menjadi platform yang menyelaras urusan antara golongan muflis dengan Jabatan Insolvensi, menyediakan khidmat nasihat serta memanjangkan aduan dan rintihan golongan berkenaan kepada Jabatan Insonvensi.

“Sekain itu, sekretariat ini akan mendesak Jabatan Insolvensi menyelesaikan masalah orang yang muflis kerana menjadi penjamin sosial, membantu pasukan petugas yang ditubuhkan jabatan tersebut dan mencadangkan supaya wakil sekretariat menjadi ahli Lembaga Penasihat Jabatan Insolvensi.

“Jika tiada langkah-langkah pencegahan diambil, kita bimbang jumlah golongan belia khasnya yang muflis akibat berhutang mungkin mencecah 120,000 orang menjelang tahu 2020,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sekretariat Bebas Muflis di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, Sohaimi berkata, sekretariat ini juga akan mengumpulkan maklumat mereka yang muflis khususnya penjamin sosial, golongan tertipu dan teraniaya serta mereka yang bankrap kerana faktor-faktor teknikal.

“Kita telah diberikan jaminan lisan baru-baru ini oleh menteri yang berkenaan untuk mengkaji dan memberikan pelepasan kepada penjamin sosial.

“Namun, pihak sekretariat tidak berjanji melepaskan 100 peratus golongan muflis ini kerana kami hanya bertindak sebagai wadah kepada maklumat yang akan disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis PPIM, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied menyeru mereka yang mempunyai masalah bankrap tampil ke hadapan membuat aduan kepada sekretariat.

“Kita tidak janji dapat membantu semua, sekurang-kurangnya kita dapat kaji kes-kes yang terbabit dan letakkan pada saluran yang sepatutnya.

“Buat masa ini, anggaran minimum mereka yang muflis kerana menjadi penjamin sosial adalah sebanyak 30 peratus daripada 245,000 orang,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan atau maklumat lanjut mengenai sekretariat berkenaan boleh mendapatkannya dengan melayari laman sosial Facebook, sekretariatbebasmuflis atau melalui blog muflis-peluangkedua.blogspo.com.

Artikel menarik :

.


No comments:

Post a Comment